Monday 10 September 2012

Sistem Pendidikan Yang Komprehensif Untuk Malaysia


Kecelaruan Arah-tuju Sistem Pembelajaran

Menilai kepada perjalanan Sistem Pembelajaran di Malaysia, lebih-lebih lagi kenyataan-kenyataan Menteri Pelajaran yang kerap berubah, Rakyat sangat sangsi arah perjalanan sebenar Sistem Pelajaran Malaysia.


PPSMI pernah dilancarkan tanpa kajian mendalam dan terperinci, akhirnya mengakibatkan kos yang begitu besar, dan kerosakan juga tidak kurang besar kepada generasi yang sedang dididik. Kesudahannya, dengan tekanan dari pelbagai pihak, PPSMI diberhentikan secara gradual 'soft landing'. Bagi menunjukkan kesungguhan kepada pembelajaran BAHASA, Kementerian memperkenalkan kaedah MBMMBI untuk tingkatkan mutu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Selepas hampir 2 tahun pengumuman tentang penamatan PPSMI dan digantikan dengan MBMMBI, hampir tidak ada keputusan rasmi dan arah sebenar halatuju pengajian BM dan BI. Mungkin disebabkan menteri pelajaran terlalu sibuk dengan persiapan PRU13 yang tak kunjung tiba.



Tiba-tiba dengan semangat kemerdekaan, dan dikejutkan dengan penolakan yang begitu nyata dari kalangan generasi muda kepada regim pemerintah, Menteri Pelajaran umum pula untuk rombak sistem pembelajaran sejarah Malaysia. Kononnya untuk pupuk semangat cintakan negara.
 
Penumpuan Kembali Kepada Pendidikan
 
Seharusnya pengajian di Malaysia dikembalikan kepada sistem yang melahirkan insan yang punyai minda yang kritis dan kreatif untuk selesaikan masalah yang dihadapi masa kini serta masa depan. Kita bukanya mahu lahir sekadar robot-robot yang menjalankan tugas sambil menunggu kemasukan gaji bulan berikutnya sahaja.
 
Apalah sangat nilai 10 A's jika disogok dengan tuisyen dan motivasi yang dipaksakan. Ditambah dengan kekadang soalan peperiksaan besar, seperti SPM yang didakwa bocor, dan didapati benar.
 
Pendidikan Peringkat Rendah, seharusnya ditumpukan kepada kemahiran membaca yang diwajibkan pada tahap I, dan tidak dibiarkan mana-mana pelajar terlepas ke tahap II tanpa punyai kemahiran membaca. Pendidikan agama mestilah bersifat praktikal dan bukannya dengan menghafal semata-mata. BM dan BI diterapkan secara menarik melalui kaedah buku cerita ataupun bahan bacaan ringkas. Pengiraan matematik asas adalah wajib. Namun bukan bertujuan untuk melahirkan Einstein Junior. Yang penting kemahiran berfikiran kreatif dan bersahaja.
 
Pendidikan tahap I tidak seharusnya dibebankan dengan 'homework', setiap tugasan mesti dimulakan dan dihabiskan di sekolah, tidak semestinya menumpu kepada kualiti tulisan dan kemasan. Aspek kesihatan serta seni & kreativiti mesti diberikan pendedahan, pada kadar peratus yang lebih rendah berbanding BM, BI, bahasa Ibunda, dan Agama.
 
Pembelajaran sains dan geografi hanya diperkenalkan pada tahap II sekolah rendah.
 
Pendidikan Menengah mesti dijuruskan kepada mengenal-pasti potensi pelajar. Penjurusan bidang yang dipilih berdasarkan potensi diri seseorang pelajar.

Sikap Menteri Pelajaran yang kerap buat perubahan dibimbangi menjejaskan persediaan guru dan penerimaan murid. Pengumuman mengenai penghapusan ujian PMR juga telah diterima dengan pelbagai kefahaman. Ada yang menganggap 'enjoy' dulu sampai SPM.
 
Pakatan Rakyat mesti menyemak semula sistem pendidikan secara keseluruhan, kerana kita mahu pendidikan wajib diperingkat rendah dan menengah dilalui pelajar dengan penuh makna, bukan sekadar menghabiskan waktu menunggu usia remaja.
 
Peluang pendidikan ke peringkat tertinggi yang mampu dilalui oleh seseorang pelajar mesti diberikan peluang, tanpa mengira kaum, dan tahap sosio ekonomi. Hutang Pendidikan adalah sesuatu yang tak masuk akal waras.
 
InsyaAllah, sekiranya jalan pendidikan yang dilalui oleh setiap pelajar, menghargai potensi dan kemampuan mereka, otomatis mereka akan merasa dihargai sebagai warga negara merdeka, dan secara langsung akan menjadikan mereka insan yang sayangkan tanahair, dan cintakan Malaysia.

Sebangsa   Senegara   Sejiwa
S E L A M A T K A N   M A L A Y S I A

No comments:

Post a Comment