Wednesday 12 September 2012

Apakah Qanun dan Hudud?


DALAM fiqh Islam, istilah Qanun (kanun) @ syariah ialah perundangan Islam atau perundangan syarak termasuk di bawah perundangan 'Undang-Undang Jenayah Syariah' @ 'Undang2 Kanun Jenayah Syariah' - undang2 syarak bersabit dengan kesalahan yg dilakukan seseorang yg boleh didakwa di bawah kes jenayah syariah.

Ia membabitkan perbuatan atau perilaku jahat yang dilakukan seseorang untuk mencerobohi atau mencabul kehormatan jiwa atau tubuh badan seseorang yang lain dengan sengaja.

Jenayah mengikut takrifan fuqaha adalah khusus pada kesalahan membabitkan perlakuan seseorang membunuh @ menghilangkan anggota tubuh badan seseorang yg lain atau mencederakan @ melukakannya yg wajib dikenakan hukuman qisas @ diyat.
 
Bagi kesalahan yang membabitkan harta benda, akal fikiran dan sebagainya adalah termasuk dalam jenayah yang umum, yang semua kesalahan wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta'zir.

Mengikut peruntukan hukum syarak yang disebutkan di dalam Quran dan hadis yang dikuatkuasakan dalam undang-undang jenayah syariah, penjenayah didakwa apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat, atau ta'zir. Hukuman itu adalah tertakluk kepada kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah berkenaan.

Hukuman hudud adalah hukuman yang ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Quran dan hadis. Hukuman hudud ini adalah hak Allah yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh diubah suai dan dipinda. Hukuman hudud tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun. Mereka yang melanggar aturan hukum Allah yang sudah ditentukan dan ditetapkan Allah dan Rasul-Nya yang disebutkan di dalam Quran dan hadis adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim.
Firman Allah SWT, "Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim." – (Al-Baqarah: 229)

Kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:
  • Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yg sah mengikut hukum syarak.
  • Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yg baik lagi suci atau menafikan keturunannya, dan tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.
  • Minum arak atau minuman yang memabukkan, sama ada sedikit atau banyak, mabuk atau tidak.
  • Mencuri, iaitu memindahkan secara bersembunyi harta alih daripada jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.
  • Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan itikad kepercayaan.
  • Merompak (hirabah), iaitu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.
  • Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada Ulil Amri yang menjalankan syariat Islam dan hukum Allah.

    (Sumber Qanun Jinayah Syariyah & Sistem Kehakiman Dlm Perundangan Islam Berdasarkan Quran & Hadis oleh Bekas Mufti Sabah, Haji Said Ibrahim).
  •  

    1 comment: