Sunday 9 September 2012

Rafizi Tuntut Mahkamah Gugur Tuduhan Demi Keyakinan Rakyat

Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menggugurkan tuduhan mengikut Seksyen 97 Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) yang dihadapinya ekoran siri pendedahan melibatkan National Feedlot Corporation (NFC).

Peguam N Surendran yang mewakili Rafizi berkata permohonan itu dibuat antara lain kerana "seluruh prosiding itu adalah penyalahgunaan kuasa pendakwa raya yang mahu memuaskan hati tuan politik mereka".

"Ia juga menentang polisi awam kerana apa yg dibuat Rafizi adalah mendedahkan salah guna dana rakyat," kata Surendran sewaktu bercakap kepada pemberita di luar mahkamah.
Menurutnya lagi, permohonan menggugurkan kes itu adalah mesej jelas dari mereka kepada perdana menteri agar tidak menyalahgunakan sistem perundangan untuk menekan pembangkang daripada mendedahkan salah laku kerajaan.

"Kita mahu buktikan yang mahkamah tidak akan membiarkan sistemnya disalahguna kerajaan untuk menindas personaliti dari pembangkang," katanya.
Rafizi pada 1 Ogos lalu didakwa mendedahkan empat akaun bank berkaitan NFC dan pengerusi syarikat tersebut, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 97 Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) atas tuduhan mendedahkan akaun kewangan di bawah Public Bank kepada dua wartawan, seorang daripadanya Erie Martin Carvalho dari The Star.

Akaun-akaun itu dikenalpasti sebagai profail pelanggan akaun NFC, Meatworks and Livestocks Sdn Bhd, Agroscience Sdn Bhd dan akaun Mohd Salleh sendiri.

Rafizi didakwa mendedahkan akaun itu di ibu pejabat PKR pada 7 Mac lalu.

Turut didakwa bersamanya adalah bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad yang didakwa bersubahat di bawah Seksyen 112(1)(c) akta sama.
-petikan dari Malaysiakini-

No comments:

Post a Comment