Saturday 25 August 2012

Petunjuk PRU13 ; Pelakon Veteran Muncul Kembali


Penggal Parlimen ke12 benar-benar menarik perhatian bukan sahaja kepada penggemar dan pemerhati politik, malah hampir keseluruhan warga Malaysia dari kalangan belia dan dewasa turut mengikuti perkembangan yang berlaku.

Mungkin penggal ini antara yang paling menarik dalam sejarah pilihanraya di Malaysia. Apa tidaknya, dalam penggal ini berlaku peralihan Perdana Menteri, peralihan Ketua Pembangkang, dan yang paling menariknya berlaku begitu kerap pilihanraya kecil. Tambah menarik, dari 16 pilihanraya kecil, 8 dimenangi oleh BN, dan 8 lagi dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Belum pernah pihak pembangkang memenangi prestasi sebaik itu melalui pilihanraya kecil.
 
Pemerhatian ini sangat jelas, apabila soalan paling popular untuk mutakhir ini ialah, BILA PRU13 ?


Alamat-alamat PRU13 cukup nyata, namun ianya belum dapat dilaksanakan hanya kerana PM menerima laporan rasmi dan tidak rasmi yang menunjukkan parti pemerintah sukar untuk mempertahankan kuasa jika diadakan PRU13 dalam keadaan semasa. Justeru, tindakan demi tindakan, atas nasihat Konsultan APCO, dengan rencana untuk mengubah persepsi masyarakat dari menolak UMNO/BN kepada mengenang jasa dan janji BN.

Perkembangan mutakhir, kemunculan semula Dr Mahathir dalam kancah politik semasa, menyerang Anwar, dan Pakatan Rakyat adalah pelengkap kepada kemunculan semula pelakon-pelakon veteran dalam usaha BN mempertahankan diri. Che Det keluar dengan kenyataan yang menunjukkan sifat seorang tidak ingat dunia-akhirat. Beliau memilih untuk buat serangan nekad dengan menggunakan istilah SYAITAN bagi dirinya dan kawan-kawan dalam BN, dan MALAIKAT untuk Anwar dan Pakatan Rakyat. Dengan penuh keyakinan berkempen agar rakyat memilih Syaitan kerana dah dikenali, berbanding menaruh Harapan kepada Malaikat, yang disifatkannya boleh melakukan kesilapan. Kenyataan begitu berani adalah kebiasaan kepada watak beliau, cuma yang mutakhir ini agak jelas lupa dunia-akhirat.
Pelakon Veteran yang berperanan penting semasa 1999, juga muncul semula, iaitu Rahim Noor. Jika dulu dengan kekuatan fizikal yang mampu membunuh, tapi kini dengan kenyataan yang cukup biadap, bila membuat kenyataan bahawa Tuan Guru Nik Aziz adalah BAPA KAFIR.

Ummi Hafilda juga muncul dengan versi baru, bila kali ini cuba mengheret ibunya menyerang Azmin. Cuma langkah beliau menjadi begitu singkat bila disergah tanpa disangka-sangka oleh Azwan.
 

Ulama upahan juga telah mula muncul dengan peranan lama, iaitu memberikan imej BN sebagai kerajaan Islam, dan Pakatan Rakyat tidak membela Islam. Usaha melagakan PAS dan DAP dalam isu Hudud tidak kesampaian pada kali ini, apabila DAP dan PAS lebih berpengalaman dalam menangani isu asas Islam. Lebih-lebih lagi semakin ramai pimpinan DAP yang bukan sahaja memahami Islam, malah ada yang mampu membaca ayat Quran dengan fasih serta terdapat pimpinan DAP yang merupakan graduan UIA pendidikan Islam. Sebab itu, yang berlaku hanya kenyataan dari aspek undang-undang oleh Karpal, dan disambut secara membuta tuli oleh Nasha.

Pengundi pada PRU13 adalah dari kalangan yang celik INFO, IT, dan bermaklumat. Sebahagian dari penggerak reformasi 1999, kini telah menjadi pengundi saluran 2. Malah lebih 30% pengundi semasa adalah pengundi baru yang lengkap dengan maklumat sebenar, dan sangat mengenali aspirasi Anwar sebagai pendokong Reformasi.

Masyarakat cina yang dahulunya, semasa 1999, tidak yakin perubahan mampu membuat peralihan diperingkat Kerajaan, telah menyaksikan perubahan 2008 telah membuat peralihan Kerajaan di Negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor, selain Kelantan. Malah Pakatan Rakyat telah pun memenangi kerusi Parlimen di semenanjung berbanding BN.
Prestasi Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dengan air percuma dan pelbagai pendekatan Merakyatkan Ekonomi. Pulau Pinang dengan kehebatan menarik pelaburan dalam dan luar negara melalui pendekatan CAT, kompeten, akauntibiliti, dan transparensi. Kedah dengan dasar terbuka dan mesra rakyat, mampu melaksanakan proses pentadbiran yang efisyen, dengan kemasukan hasil yang maksima kepada tabung kerajaan, disamping perbelanjaan berhemah demi kepentingan rakyat. Kelantan dibawah kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz tak perlu dipertikaikan lagi kewibawaan Kelantan bangkit menjadi negeri yang begitu sejahtera.


Dengan perkembangan yang terus berlaku, serta dokongan Pakatan Rakyat yang semakin berkembang sayapnya hingga ke Sabah & Sarawak, maka tidak hairanlah PM tidak jumpa punca untuk memikirkan tarikh keramat PRU13.

No comments:

Post a Comment