Tuesday 3 September 2013

Kenyataan IKRAM Isu Kenaikkan 20 sen RON95 dan Diesel

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
3 September 2013 bersamaan 26 Syawal 1434 H
Kenaikan Harga Minyak Petanda Kerajaan Tidak Peka Kesempitan Hidup Rakyat
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melahirkan rasa kecewa dengan kenaikan harga minyak sebanyak RM0.20 sen seliter semalam yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Najib Tun Razak, walaupun pihak kerajaan telah berjanji untuk tidak menaikkan harga minyak semasa kempen PRU 13 dulu!
Sebab utama kenaikan adalah untuk merasionalisasi subsidi yang diberikan kepada rakyat.
Di kala rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup masa kini yang tinggi, kenaikan harga minyak yang berkuatkuasa 3 September 2013 dibimbangi akan disusuli pula dengan kenaikan harga barangan keperluan yang lain menyebabkan rakyat semakin terbeban.
Alasan menaikkan harga minyak bagi membolehkan kerajaan dapat menjimatkan sehingga RM1.1 billion pada tahun ini dan RM3.3 billion pada tahun 2014 tidak harus dilihat sebagai langkah yang terakhir lebih-lebih lagi apabila ia membebankan rakyat.
Kerajaan seharusnya memikirkan bagaimana membentuk ekonomi Negara yang lestari dan stabil tanpa bergantung banyak kepada pemberian subsidi di samping mengupayakan rakyat untuk tidak bergantung kepada saguhati-saguhati kerajaan seperti BR1M dan sebagainya. Jaminan kerajaan untuk mempastikan bahawa harga barangan keperluan rakyat lain tidak terus meningkat dan ke mana hasil penjimatan itu akan dibelanjakan juga seharusnya dinyatakan dengan jelas kepada rakyat.
Kerajaan juga harus menilai kembali beberapa keputusan yang dibuat sebelum ini yang menjurus kepada amalan pembaziran. Pengisytiharan beberapa projek segera sepanjang pilihanraya kecil serta pemberian-pemberian yang mewah yang berupa sogokan seperti diumumkan semasa Pilihanraya Kecil DUN Kuala Besut sebagai beberapa contoh yang dilihat seolah-olah kerajaan tidak pernah merancang dengan berhemah perbelanjaan negara dan akhirnya bila ekonomi negara mengalami kesempitan, ianya dibebankan kembali kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment