Tuesday, 9 October 2012

Graduan Dan Pasaran Kerja

Komitmen Pakatan Rakyat untuk menghapuskan pinjaman PTPTN, sebagai pinjaman yang lahir dari sikap yang tak bertanggung-jawab oleh pihak Kerajaan, adalah sesuai dan bertepatan dengan suasana semasa dimana ramai graduan yang masih berstatus 'penganggur'.

Perangkaan tahun lalu sahaja menunjukkan bahawa 44,391 graduan yang masih tercari-cari pekerjaan. Ini menjadikan jumlah graduan yang yang masih mencari kerja sejak tahun-tahun sebelumnya bertambah sebanyak 44 ribu.

Beberapa hasil bancian keatas syarikat-syarikat serta agensi pencari kerja menunjukkan bahawa graduan masih belum bersedia untuk memasuki pasaran kerja. Graduan dinilai sebagai masih tercari bentuk kerja yang sepatutnya sesuai. Mereka masih kabur untuk menempatkan diri pada bidang pekerjaan yang boleh dimanfaatkan dengan bekalan ilmu yang diperolehi dalam tempoh beberapa tahun dibangku pengajian.

Hasil kajian juga mendapati graduan yang dilahirkan samada oleh 20 universiti awam, mahupun 60 universiti swasta, tidak punya kualifikasi yang sepadan dengan kehendak pasaran kerja semasa. Ertinya, graduan tertarik untuk mengambil kursus semasa di Universiti, berdasarkan keindahan presentasi oleh bahagian pengambilan Universiti berbanding menilai keperluan masa depan. Begitu juga dengan pihak Universiti sendiri, yang menawarkan kursus berdasarkan kelebihan yang dimiliki berbanding keperluan pasaran kerja yang diperlukan negara.

Tindakan untuk strukturkan semula sistem pengeluaran graduan universiti sangat diperlukan bagi mengatasi kekurangan kepada graduan yang hanya memiliki sijil pelbagai peringkat, tanpa skill khusus yang diperlukan pasaran. Pasaran kerja bukan sekadar memerlukan graduan berijazah dengan ilmu teori semata-mata, malah diperlukan skill komunikasi, penggunaan bahasa kebangsaan dan bahasa inggeris, serta perwatakan yang sesuai dengan alam pekerjaan.

Peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan, berjumlah RM440 juta sebagai pinjaman untuk meningkatkan skill dan kemampuan, lebih kepada membebankan graduan dengan tambahan hutang yang tak berkesudahan. Kenapa tidak disediakan orientasi alam pekerjaan dibahagian akhir pengajian ? peruntukan boleh disalurkan ke pusat pengajian untuk memudahkan urusan proses orientasi.

Kesungguhan kerajaan untuk memartabatkan bidang pembelajaran di Malaysia juga turut diragui kerana peruntukan keseluruhan dikurang dari RM50b kepada RM38.7b. Apakah semakin kurang kehendak dibidang pembelajaran, atau Menteri yang berkaitan tidak kreatif untuk melakarkan keperluan dan kehendak sistem demi membina masa depan yang lebih baik.

Akhirnya, yang dipersalahkan adalah graduan, kerana tidak menepati kriteria pasaran kerja. Graduan dipersalahkan atas alasan kerana memohon gaji permulaan yang tidak munasabah, personaliti dan karakter yang tidak bersesuaian dengan alam kerja, serta kurang skill komunikasi, terutama kemampuan menggunakan bahasa inggeris.

Kelemahan kualiti produk sistem pembelajaran di Malaysia mesti dikembalikan kepada pemerintah, kerana ianya melibatkan jumlah yang besar. Kekurangan individu tertentu hanya menghasilkan kesan yang terpencil, tetapi bagi sejumlah yang besar seperti di depan mata kita sekarang, ianya merupakan kelemahan kepada sistem yang diguna-pakai oleh negara.

UBAH SEKARANG !

No comments:

Post a Comment